Assalamualaikum wbt..
Azan sudah berusia 1429 tahun dan disyariatkan di Madinah al- Munawarrah. Diriwayatkan bahawa azan diamalkan oleh orang-orang Islam pada tahun pertama hijrah. Ketika itu, orang-orang yang berhijrah ke Madinah berkumpul untuk menunaikan solat. Terbit persoalan pada waktu itu bagaimana caranya memberitahu umat Islam masuknya waktu solat dan menyeru secara langsung kepada mereka untuk bersama-sama menunaikan solat secara berjemaah.
Azan merupakan satu lafaz khusus yang menyeru umat Islam menunaikan solat dan melakukan solat berjemaah. Mengerti dari aspek harfiahnya, azan membawa maksud ‘al-I’lam’ (pemberitahuan) atau ‘an-nida’ (seruan).
Menghayati azan sedalam-dalamnya memberi pengertian yang luas. Mengiyakan dan meyakini kewujudan Allah S.W.T, mengakui kebesaran dan keagunganNya sudah cukup memberi semangat dan kekuatan buat umat Islam mendepani cabaran yang pelbagai. Itulah yang dilafazkan sebagai Allah hu-Akbar dan Ash –hadu alla ilaha illallah.
Laungan azan yang bergema di seluruk pelusuk alam menunjukkan bukti kewujudan umat manusia yang beragama Islam. Laungan ini bukan sahaja melambangkan tauhid seperti yang telah dijelaskan di atas. Selain tauhid dan akidah yang terkandung dalam lafaz azan, aspek kepentingan mengerjakan ibadah solat juga ditekankan.
Wujud kesepakatan masyarakat bukan Islam yang meminta seruan azan diperlahankan kenyaringannya di masjid dan surau-surau sekitar mereka dengan alasan menggangu kedamaian suasana. Mereka tidak menghormati azan yang dilaungkan malah berani meminta azan diperlahankan walaupun mereka tahu bahawa Malaysia merupakan sebuah negara Islam yang harus mencanang keislamannya di pelusuk bumi ini melalui pelbagai cara dan salah satu daripadanya ialah seruan azan.
Oleh kerana masyarakat Islam sendiri kebanyakannya tidak menghayati dan mengambil tahu pengertian lafaz azan itu, maka tidak ada perjuangan untuk menentang anasir bukan Islam yang mahu mengaturcara kehidupan masyarakat Islam di bumi Islam ini sendiri. Betapa manisnya Tuhan mengatur lafaz azan untuk panduan dan peraturan sejagat umat manusia. Hanya orang-orang yang tidak menghayati akan kerugian dan tidak mendapat apa-apa hikmah apabila mendengar laungan azan di sekeliling mereka.
Azan dilihat sebagai seruan biasa untuk memanggil umat Islam bersolat. Kehidupan tetap berjalan seperti biasa tanpa perlu memberhentikan sebentar perbualan, perbuatan dan sebagainya demi menghormati azan. Di manakah azan di hati kita?
No comments:
Post a Comment
terima kasih kerana tinggalkan komen.Insyaallah saya akan terjah ke belog kamu juga :)